Tuesday, October 27, 2009

PUISI MUSIM HAJI


Makkah

Di sini aku

Hambamu,

Abidmu.

Aku datang menyahut panggilanmu

Di sini aku

Tiada ada apa

Pada diriku.

Sekadar dua helai kain putih

Membungkus badan.

Aku gantung namaku

Di pintu pejabat.

Aku tanggalkan nafsuku

Di atas ranjang

Aku berikan isteri

Kepada dirinya.


Aku campak bintangku

Di dalam kotak.

Aku kumpulkan fikiranku

Ke dalam botol dakwat.

Aku ikat lidahku

Di muara mulut.

Aku cungkil mataku

Ke dalam kocek seluar.

Aku bungkus suaraku

Dalam kain sarong.

Aku ikat tangan dan kakiku

Di tiang rumah.

Aku buang perutku

Ke dalam periuk nasi.

Aku sangkutkan telingaku

Pada headphone kaset.

Aku letakan penaku

Di atas meja tulis.

Aku tutup bukuku

Dengan kunci keluli.

Tiada lagi aku

Tiada daya upayaku

Kecuali Allah Subhanahu wataala.

AbidMu datang menyahut panggillanMu,

Ya Allah, abidMu datang menyahut panggilanMu,

AbidMu datang menyahut panggilanMu,

Tuhan yang tiada sekutu bagiMu,

AbidMu datang menyahut panggilanMu,

Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan

Segalanya kepunyaanMu

Tiada sekutu bagiMu.

Labaikallahumma labbaik

Labaikallaasyariikalaka labbaik ....

7.6.2005

Monday, June 01, 2009

BERJEMAAH BERSAMA MATAHARI DAN BULAN


Ketika hari semakin tua
Matahari singgah
Di anjung rumah
Matanya kian merah
Meraungkan salam
Menumpang semahyang
Ketika muazin memanggil
Tiba-tiba bulan datang menjelang
Di tepi jendela

Aku pun semakin tua
Kami berjemaah
Aku ditengah
Matahari di kanan
Bulan di kiri
Kami sujud bersama
Badanku hangus terbakar menjadi hitam
Hatiku bermandikan cahaya terang
Dan aku seperti  burung pungguk
Di atas sejadah  aku duduk
Menunggu
Merindu
Memanggil namamu
Setiap malam
Sepanjang zaman


Saturday, May 16, 2009

Menunggu Laila: Sebuah Anthologi Puisi


Mencuri Waktu

(Cinta Notakaki)

 

Masihkah kau ingat

Puisi cintaku kepadamu

Tiga dekad yang lalu

 

Ku tuliskan nota kaki

Cinta kita

Esei kisah kita berdua

Cintaku sehangat matahari

Dan sesegar embun pagi

Sampai ke akhir hayat ini.

Kutuliskan nota kaki

Cinta kita

Bermula di tahun ketiga

Kolej Kelima, Universiti Malaya

Ketika peperiksaan akhir tiba.

 

Kutuliskan nota kaki

Cinta kita

Betapa kita mencuri waktu

Di antara kuliah dan buku.

Di antara ijazah dan asmara

Di antara kampung dan bandaraya.

 

Kerana sumpah menara gading

Serta harapan ayah dan ibu

Kerana telah menyeluk pekasam

Kerana telah mengegam bara.

 

Tidak indah varsiti green,

Tidak romantis tasik,

Tidak seronok kota KL.

 

Kita mencuri waktu

Di taman indera buku

Pagi, petang atau malam

Ataupun di hujung minggu.

Seperti merpati

Kita terbang ke rimba ilmu.

Kita mencuri waktu

Di celah-celah rak buku

Kita meniti dari rak ke rak

Dari tingkat ke tingkat.

Dari meja ke meja.

Dari buku ke buku

Dari halaman ke halaman

Dari perenggan ke perenggan

Dari ayat ke ayat

Dari perkataan ke perkataan.

 

Betapa kita memampu membilang

Dan menghitung waktu

Lalu kita mencuri waktu

Di antara kuliah dan nota,

Di antara esei dan tutorial.

Di antara rujukan dan peperiksaan

Di Dewan Tunku Canselor.

Jelingan dan senyuman

Kita letak di nota kaki.

 

Kita mencuri waktu

Mencari berbagai ilmu.

Di pentas inspirasi Panggung Eksperimental

Mahasiswa berbekal teori dan data emperikal

Memancung kepala kapitalisme dan imperlialsime

Menikam kemiskinan dan kelaparan.

Atau debat para pemimpin

Bersilat minda.

Mengungkap kesenian dan keintelektualan.

Membela bangsa yang tertindas

Di tanah air sendiri.

 

Alhamduillah, bara menjelma

Menjadi segulung warkah bertinta emas

Bukti kejernihan tekad murni

Anugerah Tuhan

Pada tahun tujuhpuluh enam.

 

 

3012004

Tuesday, September 30, 2008

SALAM AIDIL FITRI AL-MUBARAK

walau langkah tak bertemu

tangan tak berjabat

ucap tak terdengar

mata tak bertatap

tapi izinkan hati memohon

 maaf zahir dan batin

Wednesday, September 24, 2008

PUISI MUSIM RAMADAN DAN ADIL FITRI

KAMPUNGKU

 

Aku pulang

Ke kampungku, Ladang Baru.

 

Si Tenggang

Mencari yang seribu

Bertemu yang Satu

Di tapak kaki ibu.

 

Kaki ayam tiada lagi

Diganti empat roda besi.

Lumpur tiada lagi

Ditukar tar hitam.

 

Air perigi hanyir

Kini mengalir dari paip.

Lampu sentir kelam

Diganti neon hidro

 

Robek atap nipah

Berubah menjadi zink

 

Cerita nenek tua

Diganti akademi fantasia

Iman waktu fardhu

Digandi deejay mtv.

Mengaji telah lama berhenti

 

Bapa pergi mencari rezeki

Menjadi si Tenggang

Dan menjadi suami hujung bulan.

 

Bulan Ramadhan al-mubarak

Takbir pertama Syawal

Aku pulang

Begitu juga suami-suami yang lain

Memohon keampunan

Mencari yang asal

Yang telah lama hilang

Menghitung anak saudara

Yang tidak kenal.

Waliku yang tuli dan lali

Ibuku bongkok rabun

Masih ingat makanan kegemaranku

Mengembirakan hatiku

Seperti aku kecil

Setengah abad yang lalu.

Syurga yang sentiasa menunggu

Anak yang pulang

Di bulan Syawal.

Allahu Akbar

Allahu Akbar

Allahu Akbar

Walillahhilham!

 

3 Syawal/27 Nov. 2003,

Pacific Sutera Habour

KK, Sabah.

PUISI MUSIM RAMADAN DAN ADIL FITRI

R A M A D H A N   I

 

Pada bulan Ramadhan

Dalam jihad besar

Apa umat Melayu dapat?

Kemenangan

Sekadar sebiji ketupat

Dan sepinggan rendang.

Dan kehausan dan kelaparan

Sepanjang bulan di waktu siang.

 

16122002